Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Empat individu yang melakukan aktiviti memasak di sebuah stesen minyak di Genting Highlands telah dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Bentong.
Empat individu berkenaan, Nur Azira Azman, 23, (ejen hartanah); Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran, 24, (peniaga kedai makan); Nur Fatin Irdina Shahrulnizam, 24, (pegawai khidmat pelanggan); dan Nur Anis Salleh, 24, (pembantu pergigian), didakwa di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah dan memohon agar denda dapat dikurangkan kerana mereka perlu menanggung ibu bapa dan adik-beradik.
Majistret Nadhratun Naiem Zainan kemudiannya mengenakan hukuman denda RM500.
Mengikut fakta kes, tertuduh melakukan kesalahan itu pada 12 Mei lalu kira-kira pukul 1.30 pagi di sebuah stesen minyak di Genting Highlands.
Tertuduh pertama, Fadhli mengakui kesalahan tersebut dan memberitahu mahkamah bahwa mereka merancang untuk memasak di tempat lain, namun sudah penuh.
Mereka kemudian memasak di kawasan stesen minyak tersebut dan beranggapan tempat mereka memasak itu adalah jauh dari ‘nozel’ minyak dan ianya berada di laluan ke tandas.
Tertuduh kedua, Nur Fatin berkata, perbuatan tersebut adalah secara rawak kerana mereka lapar tanpa memikirkan bahaya yang timbul di kawasan stesen minyak berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber: Kosmo! Online