4 aktivis saman MDB, Kerajaan Terengganu atas kematian anjing 'Kopi' - The Reporter

4 aktivis saman MDB, Kerajaan Terengganu atas kematian anjing ‘Kopi’

4 aktivis saman MDB
Anjing terbiar yang dikenali sebagai Kopi

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Kematian seekor anjing liar dikenali sebagai Kopi, yang pernah tular di media sosial kerana aksinya bermain dengan anak kucing terbiar, membawa kepada tindakan saman oleh empat aktivis haiwan terhadap Majlis Daerah Besut (MDB) dan kerajaan Terengganu.

Saman pemula itu difailkan pada 10 Disember lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu oleh Kartini Farah Abd Rahim, S Mukunnan, Hong Hai San, dan S Shashi Kumar.

Mereka mendakwa tindakan MDB menembak mati anjing tersebut melanggar Seksyen 29(e) dan Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (AWA 2015).

Peguam plaintif, Rajesh Nagarajan, dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini memaklumkan, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menetapkan 15 Januari depan sebagai tarikh pendengaran kes tersebut.

Menurut saman itu, plaintif memohon perisytiharan bahawa penggunaan senjata api untuk menembak Kopi adalah tidak sah, kecuali dalam situasi kecemasan atau kawalan penyakit dengan kebenaran pihak berkuasa veterinar mengikut Seksyen 30(2) AWA.

Afidavit sokongan difailkan Kartini Farah menyatakan bahawa pada 6 Oktober lalu sekitar jam 1.30 pagi, penduduk di daerah Besut dikejutkan dengan bunyi tembakan. Penduduk melihat beberapa pegawai MDB menaiki trak pikap dan seorang daripada mereka menembak Kopi dari dalam kenderaan tersebut.

Penduduk kemudiannya menemui bangkai Kopi dengan kesan luka tembakan, dipercayai ditinggalkan oleh pihak MDB.

Yang Dipertua MDB, Mohd Sukeri, pada 13 Oktober lalu mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan itu dilakukan mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) menangani anjing liar.

Bagaimanapun, video kematian Kopi dengan durasi 52 saat yang dimuat naik di Facebook menunjukkan anjing tersebut cedera parah, menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen.

Sumber: Harian Metro (Ahmad Johari Mohd Ali)

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!