35 maut, 43 cedera dirempuh warga emas yang tidak puas hati dengan pembahagian harta - The Reporter

35 maut, 43 cedera dirempuh warga emas yang tidak puas hati dengan pembahagian harta

warga emas rempuh orang ramai di Zhuhai

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Seramai 35 orang dilaporkan maut, manakala 43 lagi cedera selepas dirempuh seorang lelaki yang memandu kereta di tengah orang ramai yang sedang bersenam di sebuah pusat sukan terbuka di Zhuhai, selatan China, pada malam Isnin lalu.

Suspek yang dikenali sebagai Fan, 62, telah ditahan ketika cuba melarikan diri dari lokasi kejadian. Hasil siasatan awal polis mendapati, Fan dipercayai tidak berpuas hati dengan keputusan penyelesaian perceraian, terutamanya mengenai pembahagian harta bersama selepas perceraian.

Presiden China, Xi Jinping, menyifatkan kejadian ini sebagai ‘sangat kejam’ dan mengarahkan agar pelaku dihukum dengan tegas mengikut undang-undang.

Dalam kejadian itu, Fan memandu kenderaan pacuan empat roda di kawasan pusat sukan tersebut dan merempuh orang ramai di trek sekitarnya pada kira-kiar jam 7:48 malam waktu tempatan.

Ketika cuba melarikan diri, polis berjaya menahan Fan yang didapati mencederakan dirinya sendiri di dalam kereta. Dia kini tidak sedarkan diri dan sedang menjalani rawatan kecemasan akibat kecederaan serius di bahagian leher.

Rakaman video yang tersebar dalam media sosial menunjukkan ramai mangsa terbaring dan barangan peribadi berterabur di trek sukan dan kawasan sekitarnya. Pihak berkuasa turut bertindak memadam semua perbincangan mengenai kejadian itu di media sosial.

Media tempatan, Caixin, melaporkan SUV yang dipandu oleh Fan merempuh beberapa kumpulan senaman yang terdiri daripada golongan dewasa dan warga emas. Pusat Sukan Zhuhai, yang sering dikunjungi penduduk untuk bersenam, kini ditutup buat sementara waktu. – Agensi

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!