Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menemui baki dua bot membawa hampir 300 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya berhampiran dua batu nautika Barat Daya Pulau Rebak, Langkawi, lewat petang kelmarin.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kesemua PATI dilaporkan dalam keadaan keletihan selepas melalui perjalanan panjang tanpa bekalan makanan dan minuman mencukupi.
“Anggaran hampir 300 PATI berada di dalam bot terbabit. Bantuan segera berupa makanan dan minuman air bersih telah diberikan sebelum bot-bot itu diusir keluar ke perairan sempadan negara,” katanya.
Operasi pengusiran itu dijalankan bagi mengelakkan sebarang ancaman keselamatan di perairan negara. Pihak Maritim Malaysia turut bekerjasama rapat dengan penguat kuasa Thailand untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai pergerakan bot-bot tersebut.
Insiden ini menyusul sehari selepas polis menahan seramai 196 etnik Rohingya yang mendarat di Pantai Teluk Yu, Mukim Ayer Hangat. Pendatang terbabit dilaporkan terkandas selepas bot kayu yang mereka naiki mengalami kerosakan di perairan berdekatan.
Menurut Mohd Rosli, pihak Maritim Malaysia kini menggandakan rondaan melalui Operasi GUARD bagi mengesan mana-mana bot yang cuba memasuki perairan negara secara haram.
Orang ramai terutama komuniti maritim diseru melaporkan aktiviti mencurigakan di perairan negara dengan segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi di 04-9662750 atau 011-58925868.
Sumber: Bernama








