22 cedera dalam insiden mercun meletup di Paya Besar | The Reporter

22 cedera dalam insiden mercun meletup di Paya Besar

Keadaan panik selepas letupan mercun di Paya Besar
Gambar: Ct Zalinasp, Info Semasa

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seramai 22 orang cedera, termasuk seorang lelaki yang mengalami kecederaan parah di kepala, selepas mercun meletup dalam kejadian di Paya Besar, Kulim awal pagi sempena sambutan Deepavali.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah malam ketika orang ramai berkumpul di sepanjang Jalan Paya Besar untuk menyaksikan pertunjukan bunga api.

“Siasatan awal mendapati letupan berlaku selepas beberapa orang awam menyalakan mercun di kawasan berkenaan. Seorang mangsa mengalami luka dalam di dahi, manakala yang lain cedera ringan akibat serpihan mercun yang berterbangan,” katanya.

Dua buah ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian dan semua mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan lanjut.

Zulkifli berkata, anggota polis dan trafik yang berada di lokasi berjaya mengawal keadaan serta mengarahkan orang ramai bersurai sekitar jam 1.30 pagi.

Baca juga:

Terdahulu, beberapa video dan gambar yang tular di media sosial menunjukkan suasana panik apabila beberapa mangsa mengalami kecederaan serta kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Menurut hantaran pengguna media sosial, letupan kuat itu turut menyebabkan beberapa kenderaan berhampiran rosak dan cermin pecah.

Kejadian itu pada awalnya dilaporkan mencederakan lapan orang, namun angka sebenar meningkat kepada 22 orang selepas siasatan lanjut dilakukan pihak berkuasa.

Difahamkan, mercun yang sepatutnya meletup di udara telah meletup di kawasan bawah tempat orang ramai berkumpul, menyebabkan beberapa individu cedera serta beberapa kenderaan mengalami kerosakan termasuk cermin pecah.

Sumber: NST, Kulim Media TV

Related Posts