Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Satu sindiket membawa warga asing berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) dalam satu Operasi Khas pada 3 Oktober lalu di Maluri, Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan di Facebook JIM, modus operandi sindiket ini adalah membawa masuk warga asing dengan menyamar sebagai ahli sukan dengan berpakaian sukan, menempah tiket pulang semula ke negara mereka dan menempah bilik di sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur sehari sebelum tarikh perlawanan semasa masuk ke Malaysia bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kadar bayaran yang dikenakan oleh sindiket adalah sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 untuk setiap orang. Sindiket dipercayai telah beroperasi selama empat bulan.
“Kesemua warganegara asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3), Sek.15(4), Sek.56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan Per.39(b) Peratutan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Bertindak atas maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan 3 lelaki warga asing yang dipercayai sebagai ‘sindiket’.
“Dua lelaki warga asing yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) manakala seorang lelaki warga asing telah tinggal lebih masa. Turut ditahan di lokasi yang sama seramai 18 orang lelaki warga asing. Kesemua mereka yang ditahan berusia di antara 21 hingga 33 tahun. Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 21 orang,” kata kenyataan itu.
Dalam operasi berkenaan pasukan operasi telah berjaya merampas sebanyak 18 naskhah pasport, wang tunai RM990.00 dan surat jemputan untuk menyertai pertandingan sukan beserta jadual pertandingan di negara ini yang dipercayai palsu.
Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia








