Lebih 20 pelajar perempuan Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Sungai Udang didakwa menjadi mangsa buli oleh pelajar senior asrama dalam kejadian pada jam 3 pagi, Sabtu lalu.
Memetik laporan Malaysia Gazette, sumber berkata, insiden itu dipercayai berpunca daripada kelewatan pelajar terbabit pulang ke asrama minggu sebelumnya. Difahamkan, pelajar senior berkenaan telah membuat pengumuman di surau sebelum Magrib, Jumaat lalu, untuk mengarahkan mereka hadir pada jam 3 pagi keesokan harinya.
Sumber memaklumkan, lebih 20 pelajar berkumpul di koridor tingkat tiga asrama sebelum ketua aspuri memanggil dua pelajar termasuk pengadu dan mengarahkan mereka berjalan itik selama 30 minit.
Baca juga:
- Akmal Saleh berjaya kumpul RM180,000 hasil jual motosikal, ikan
- ‘Kalau kita bagi subsidi, kita mengajar rakyat malas’ – MP Pasir Puteh
- Rafizi arah peguam mulakan proses saman terhadap Ramanan
“Selain itu, beberapa pelajar lain turut dipaksa melakukan ketuk ketampi, manakala mereka yang hadir lewat dikenakan hukuman tambahan. Akibatnya, dua pelajar mengalami bengkak dan melecet pada kaki. Malah, seorang daripada mereka mendakwa sering menjadi mangsa buli ketua pelajar terbabit,” katanya.
Mangsa dikatakan tidak berani melaporkan kejadian sebelum ini kerana takut terus menjadi sasaran. Namun, bimbang akan keselamatan dirinya, pengadu berusia 15 tahun itu akhirnya membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Udang pada jam 1 pagi semalam.








