2 kru pelantar minyak cedera dirompak 4 lanun tempatan bersenjatakan parang di Pelantar Minyak Aurora - The Reporter

2 kru pelantar minyak cedera dirompak 4 lanun tempatan bersenjatakan parang di Pelantar Minyak Aurora

Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan empat lanun tempatan yang disyaki melakukan rompakan berkumpulan di pelantar minyak Aurora Producer 1 di timur laut Jeti Pelabuhan Tanjung Langsat, Pasir Gudang, semalam.

Pemangku Ketua Pengarah APMM yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Laksamana Madya Maritim, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, rompakan itu berlaku antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 4.35 pagi.

Menurut beliau, pihaknya terdahulu menerima maklumat mengenai insiden itu dari isteri salah seorang pekerja pelantar yang pelik melihat telefon suaminya dirampas ketika mereka sedang membuat panggilan video.

Ketika kejadian, mangsa sedang membuat panggilan video bersama isterinya yang berusia 24 tahun, untuk berbual dan secara tiba-tiba telefon suaminya dirampas oleh lanun sebelum terdengar suara dan paparan skrin telefon tiba-tiba menjadi gelap.

Isteri mangsa segera menghubungi talian MERS999 dan memaklumkan mengenai kejadian itu dan lokasi pelajar berkenaan. APMM kemudian mengarahkan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) untuk mengesan kedudukan pelantar tersebut sebelum mengarahkan bot peronda yang sedang menjalani Ops Pagar Laut membuat tinjauan di pelantar itu sebelum mengesan suspek.

Pemeriksaan lanjut menemui sebuah bot gentian kaca bersama empat orang yang disyaki berada di bawah pelantar dalam keadaan mencurigakan.

Semasa bot peronda tiba, suspek berlagak seperti pekerja pelantar dan menarik kabel logam di bawah pelantar. Namun selepas anggota peronda memperkenalkan diri, suspek menenggelamkan bot gentian kaca itu dan berpaut pada tiang pelantar sebelum keletihan dan terjun ke laut.

Kesemua suspek bersuai 27 hingga 47 tahun termasuk dua beradik berjaya ditahan walaupun ada suspek yang bertindak agresif.

Difahamkan, pelantar terbabit ialah pelantar minyak yang sedang diselenggara. Empat suspek berkenaan cuba mencuri kabel logam yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

Hasil siasatan awal mendapati, salah seorang suspek yang merupakan ketua kumpulan itu dan tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan senjata.

Kesemua suspek direman selama lima hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan atas kesalahan merompak berkumpulan. APMM percaya suspek sudah lama menjalani kegiatan itu menggunakan bot gentian kaca yang tidak berdaftar.

Siasatan lanjut juga mendapati, dua pekerja pelantar menjadi mangsa rompakan. Mangsa mendakwa pelantar itu dinaiki tiga suspek bertopeng bersenjatakan parang dan menyerang mereka sebelum kaki dan tangan diikat, serta mulut ditutup, lalu dikurung dalam sebuah kabin. Dua jam kemudian mereka berjaya melepaskan diri dan bersembunyi sebelum ketibaan pihak berkuasa.

Suspek dipercayai cuba mencuri kabel dan perkakasan pekerja dan dua telefon bimbit milik mangsa turut dilaporkan hilang. Nilai dan barang perkakasan yang dicuri masih dalam siasatan.

Dua mangsa terbabit dilaporkan masih trauma dan kini sedang mendapatkan rawatan lanjut dan diuruskan oleh ejen perkapalan.

APMM mengklasifikasikan kes itu sebagai kes berprofil tinggi kerana kes rompakan laut sebelum ini banyak membabitkan warga asing.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!