MELAKA – Tak tahan didera suami secara fizikal dan mental sejak 17 tahun berkahwin, ibu kepada dua orang anak membuat rayuan pada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) agar tuntutan perceraiannya dipermudahkan.
Angela, 42, berasal dari Melaka mendakwa dia telah mendaftarkan perkahwinannya di JPN POrt Dickson pada 1999 dan menyesal selepas berkahwin dengan seorang lelaki yang berasal dari negeri itu yang berusia 40 tahun, lapor Utusan Malaysia.
Episod duka mangsa bermula selepas dia mengandung anak pertama beberapa bulan selepas berkahwin. Angela mendakwa, dia sering didera dengan pelbagai cara oleh ahli perniagaan itu.
“Saya selalu dimarahi sehingga dia mencekik dan memukul saya sampai mendatangkan kecederaan. Kebanyakan pertengkaran berpunca daripada perkara remeh. Paling saya tidak tahan, saya menghadapi tekanan perasaan, sering rasa terancam dan itulah yang saya alami sejak 17 tahun bersama dengannya.
“Apabila saya mahu menuntut cerai, dia akan memujuk kembali. Malah dia berjanji akan berubah. Setakat ini sudah empat laporan polis dibuat termasuk beberapa kali pihak polis mahu menahannya, tetapi saya tarik balik laporan. Saya mengharapkan dia boleh berubah tetapi sehingga kini, janji-janjinya itu tidak pernah dikotakan,” katanya yang memohon bantuan dari Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional Negeri Melaka, semalam.
“Saya pernah ditimpa kemalangan akibat mahu melarikan diri daripadanya dan dia sering menghalang kereta yang saya pandu di tengah jalan sehingga saya rasa tidak selamat. Saya sudah hilang sabar dengan perangainya dan bagi saya dia sudah tidak boleh dibawa berbincang lagi. Jalan terbaik adalah berpisah,” katanya.
Pengarah Pusat Perkhidmatan BN Melaka itu memberikan jaminan yang pihaknya akan membantu mangsa mendapatkan hak perlindungan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat serta menyediakan khidmat guaman bagi proses tuntutan cerai. – PIXEL MEDIA