15 pelajar UPSI maut, bas terbalik selepas bertembung dengan Alza | The Reporter

15 pelajar UPSI maut, bas terbalik selepas bertembung dengan Alza

Bas pelajar UPSI terbalik selepas kemalangan dengan Alza di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding
Keadaan bas yang membawa pelajar UPSI terbalik selepas bertembung dengan Perodua Alza di Tasik Banding, mengorbankan 15 nyawa. | Gambar: Orang Awam

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ringkasan Berita:

• Bas pelajar UPSI bertembung Alza, 15 maut termasuk pelajar
• Mangsa ada yang tercampak keluar dan sebahagiannya keluar sendiri
• PM arahkan bantuan segera dan ingatkan pentingnya keselamatan jalan raya

Tragedi menyayat hati mengorbankan 15 nyawa berlaku awal pagi tadi apabila sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertembung dengan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kejadian dilaporkan berlaku pada jam 1.10 pagi dan pasukan penyelamat dari Balai Bomba Gerik tiba di lokasi kira-kira sejam kemudian. Setibanya di lokasi, didapati bas berkenaan terbalik manakala Perodua Alza terbabas ke dalam parit.

Lebih 40 penumpang terlibat

Bas yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak itu membawa 48 penumpang. Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, seramai 13 mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia selepas usaha menyelamat dijalankan.

“31 mangsa mengalami kecederaan dari kalangan penumpang bas. Bagi kenderaan Alza pula, tiga cedera ringan dan seorang patah tangan,” katanya. Tambah beliau, beberapa mangsa tercampak keluar dari bas, manakala sebahagian lagi berjaya keluar sendiri sebelum pasukan penyelamat tiba.

Pasukan penyelamat potong belakang bas

Dalam usaha menyelamat, anggota bomba terpaksa memotong bahagian belakang bas. Enam mangsa ditemui di dalam bas, dua cedera parah manakala empat lagi sudah meninggal dunia.

Mangsa-mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi sebelum dihantar ke hospital berhampiran. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

PM arah bantuan segera

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa dukacita dan mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi menyelaras bantuan kepada keluarga mangsa.

“Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti. Musibah menyayat hati sebegini harus jadi pengajaran kepada semua agar tidak terburu-buru di jalan raya,” kata Anwar di Facebook.

Beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengucapkan takziah dan mendoakan agar keluarga mangsa terus tabah menghadapi dugaan.

Sumber: Harian Metro

Related Posts