Seramai 13 lelaki tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian membaling bom Molotov di kawasan penempatan warga Rohingya sekitar Kulai Besar, Kulai, Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kesemua suspek berusia antara 16 hingga 31 tahun ditahan dalam beberapa operasi yang dijalankan sekitar Johor Bahru bermula 14 hingga 18 Oktober lalu.
Menurutnya, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai hasil maklumat yang diterima.
“Semakan rekod jenayah lampau mendapati empat daripada suspek mempunyai 12 rekod berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
“Polis turut merampas 13 telefon bimbit, tiga pasang pakaian dan tiga topi baseball daripada suspek,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Ab Rahaman berkata, kesemua suspek telah mendapat perintah tahanan reman daripada Majistret bagi membantu siasatan lanjut.
Jelasnya, empat suspek direman selama lapan hari termasuk reman lanjutan bermula 14 hingga 21 Oktober, manakala empat lagi direman selama tujuh hari termasuk reman lanjutan dari 15 hingga 21 Oktober.
Seorang lagi suspek direman selama lima hari bermula 15 hingga 20 Oktober, sementara empat suspek lain direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 Oktober.
Tegasnya, Polis Johor tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan jenayah yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian negeri itu.
“Polis Johor akan menjalankan siasatan secara telus dan adil tanpa mengira kedudukan serta status pelaku yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta tampil membantu pihak berkuasa dengan menghubungi balai polis berhampiran.
Maklumat juga boleh disalurkan menerusi talian hotline Polis Johor di 019-2792095 atau Bilik Gerakan IPK Johor di 07-2212999.








