11 tahun tergendala, Anwar arah segerakan pembinaan sekolah sukan Perlis | The Reporter

11 tahun tergendala, Anwar arah segerakan pembinaan sekolah sukan Perlis

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap semasa Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 di Kuala Perlis.
Anwar Ibrahim arahkan projek pembinaan Sekolah Sukan Negeri Perlis yang tergendala sejak 11 tahun lalu disegerakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan projek pembinaan Sekolah Sukan Negeri Perlis yang tergendala sejak 11 tahun lalu disegerakan dan dimulakan tahun ini juga.

Anwar berkata, projek berkenaan sepatutnya siap pada tahun 2014 namun masih terbengkalai sehingga kini, menyebabkan keputusan dibuat untuk membatalkan langkah sedia ada dan menyerahkan pelaksanaannya kepada syarikat milik kerajaan (GLC) yang lebih berwibawa seperti Khazanah Nasional atau Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Sudah berbelas tahun, sukan tiada, sekolah pun tiada. Saya putuskan untuk lantik GLC yang berwibawa.

“Arahan diberi supaya projek ini dimulakan segera tahun ini dengan peruntukan yang mencukupi untuk disiapkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Perlis di Kuala Perlis semalam.

Anwar turut memaklumkan bahawa keperluan mempercepatkan projek itu dizahirkan sendiri oleh Raja Perlis dan beliau komited memastikan impian untuk melihat Sekolah Sukan Negeri Perlis direalisasikan dalam masa terdekat.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts